Jika berpeluang mencari buku ini, suatu masa nanti.
Jika masa menginzinkan.
“Bermula dengan Datuk Amir Muiz bin Amir Shah, meninggal dibunuh oleh Syaitan Bertopeng dua tahun yang lalu.” Suara Mr Umayer menggetarkan gegendang telinga Afam. Afam mengeraskan jiwanya melihat imej hidup arwah ayahnya. Dia langsung tidak menyenangi lelaki itu. Tetapi apabila ahli keluarga dibunuh dan tidak dibela oleh kerajaan, dia tetap mempunyai rasa untuk ‘mengajar’ orang yang bertanggungjawab dan menegakkan kebenaran. Lebih-lebih lagi, ibunya turut terkorban dalam peristiwa tersebut.
Tangan Mr Umayer bergerak seakan menolak figur tadi, dan figur itu hilang diganti figur yang lain.
“Empat bulan selepas itu, Dato’ Waqiuddin bin Farid Hazlami. Meninggal dunia kerana sakit jantung.” Tangan Mr Umayer bergerak pantas. Mengulang perkara yang sama, figur berganti figur.
“Tiga bulan selepas kematian Dato’ Waqiuddin, usahawan berjaya Ya’kub bin Abd Ghafur meninggal dunia kerana kemalangan helikopter. Pada penghujung tahun yang sama, Dr Omari bin Ukashah meninggal dunia kerana keracunan makanan. Dua bulan selepas itu, Datuk Abd Majid bin Abdullah Fahmi meninggal dunia kerana kemalangan kebakaran yang berlaku di syarikatnya. Lima bulan kemudiannya, Dato’ Kaya Bakti Aminuddin bin Yasser meninggal dunia apabila keretanya terbabas ke dalam gaung. Sebulan kemudian, Datuk Amir Ar-Rasyid bin Harun Ar-Rasyid mati kerana sakit tua.”
Kini semua figur itu hilang bersama data-data mereka.
“Adakah ia memberikan kita apa-apa makna?” Mr Umayer mengangkat kening sebelah.
“Mereka ini ahli RING?” Afam seakan sukar hendak menerima.
Selama dua tahun ini, dia menyiasat kematian-kematian itu. Dia hairan mengapa orang-orang dari 10 jutawan Islam yang amat berjasa kepada kerajaan Malaysia mati satu persatu dalam waktu yang amat hampir. Dia menghidu sesuatu yang kurang menyenangkan dengan suasana itu. Walaupun orang percaya kematian itu di tangan Allah, tetapi Afam tetap merasa sangsi dengan kematian-kematian yang berturutan itu. Maka dia menyiasat kerana risau kematian-kematian itu ada kaitan dengan Syaitan Bertopeng. Namun siasatannya tidak pernah membuahkan hasil, dan Syaitan Bertopeng tidak pernah dapat dikaitkan. Kecuali kematian ayah dan ibunya. Itupun kerajaan tidak menyambung penyiasatan, dan menutup kes atas alasan kekurangan bukti. Alasan palsu yang paling tidak boleh diterima.
Kini satu persoalan baru timbul. Adakah mereka ini ahli kumpulan RING? Arwah ayahnya terlibat dengan kumpulan bawah tanah? Apa tujuan RING? Apa yang hendak dicapai oleh mereka? Siapa lagi bersama mereka? Adakah baki empat lagi jutawan Islam Malaysia yang masih hidup itu juga ahli RING?
“Sememangnya kematian semua orang ini memberikan kesan yang bukan sedikit terhadap ekonomi negara. Tetapi semua pewaris mereka, atau orang-orang yang diamanahkan meneruskan perniagaan mereka telah berjaya mengembalikan kestabilan dan kini ekonomi negara kita turut berada dalam keadaan yang stabil.” Mr Umayer memberikan pendapatnya, menghentikan fikiran Afam secara tidak langsung.
“Tetapi kita percaya bahawa mereka ini dibunuh dengan rancangan yang penuh rapi oleh Syaitan Bertopeng. Hanya Datuk Amir Muiz sahaja yang dibunuh terang-terangan.” Pak Arbi yang senyap sedari tadi bersuara sambil tangan bermain dengan janggut putihnya yang nipis.
“Aaah, pening-pening. Lebih menambah kepeningan, mengapa plate memori yang penuh dengan data ini begitu cuai dibawa ke mana-mana? Ini bukan gaya Syaitan Bertopeng yang amat berhati-hati. Data sepenting ini tidak akan dibawa oleh orang-orangnya yang biasa.” Afam menggaru kepalanya. Rambutnya menjadi semakin berserabut, berjuntai jatuh melepasi dahi. Kemudian dia segera menyeluk saku bajunya, dan mengeluarkan sekotak rokok.
“Ditambah lagi dengan meletupkan ahli-ahli mereka. Memang bukan gaya Syaitan Bertopeng.” Pak Arbi menekur data-data dari plate memori tadi yang masih terapung. Kemudian perhatiannya terganggu dengan asap yang dihembus oleh Afam.
Suka entri ini? (=^_^=)
0 comments:
Post a Comment