Click ... Terima kasih.

Click Me! Click Me! Thanks
Looking for gifts for birthday, wedding, anniversary etc?
Ingatkan daku...
Ingatkan kesilapan dan kesalahanku kerana Sayangmu,
Bukan kerana benci dan cemburu...
{wansiti}

Search

POST-TO-DO

DEALER TOPUP MALAYSIA
SEWA RUMAH DI KOTA BHARU, KELANTAN PENGANGKUTAN DISEDIAKAN
Tambah PENDAPATAN Paling Mudah Dengan SIMPAN EMAS!!!

Gerhana kampus

MALAM membaham siang. Petang menelan malam. Beburung berkicauan di atas rantingan pepohon. Hujan renyai dalam bulan Oktober ini, mengundang ratapan baru di universiti. Petang itu aku merenung luar jendela, cuba melihat pemandangan indah-indah.

Tetapi yang terzahir cuma kekeruhan wajah alam yang semakin sukar dijernihkan. Segala yang sangat indah itu akhirnya dengan cepat pudar. Benar kata pendeta. Sebenarnya, jika hati di dalam jiwa kita yang resah, maka segala yang didandan hias agar segar dipandang mata pun akan bertukar menjadi kurang indah.

Kalau tubuh kita sihat, lidah ini dengan tenangnya dapat menghirup segala kelazatannya, dan kemanisan secangkir teh dengan penuh nikmat, lazat dan berselera akan menjalar di lidah, meresap ke hati, lalu membekas pula di jiwa.

Tapi, kalau sekujur tubuh sudah demam, segalanya pahit terasa. Mata tidak lagi merenung keindahan dunia. Rumah lapang terasa sempit. Sebenarnya, kesempitan itu timbul dengan sebab hati kita rasa terhimpit dengan segala bentuk bebanan derita yang tercipta oleh kekacauan yang terbit dari luaran.

Kelmarin, adikku, Kamarul Arifin balik ke rumah dengan sugul terpalit di raut wajahnya. Di hatinya, berbalut rasa kesal dengan peristiwa akhir-akhir ini di kampus.

Ya, aku mendengar adikku, berteriak marah-marah. Dia, yang ceria itu tiba-tiba wajahnya masam mencuka, bertukar murung durja pada suatu hari.

Dia melunjurkan kaki, berehat seketika, meregangkan tubuhnya yang tegang. Lalu, kipas di siling itu berpusing, ligat berputar, menendang keluar haba panas yang terperangkap di dalam kamar kami. Setelah bahang makin reda dan kulihat Kamarul sedikit tenang, maka bibirku yang terjahit rapat sejak tadi, mula kukoyakkan dengan sebuah pertanyaan.

“Ini mesti gaduh dengan HEP kan?” aku menduga. Kamarul buat endah tidak endah. Tapi sikap dinginnya itu tidak lama. Pertanyaan itu berbalas juga dalam tempoh yang singkat.

“Susah betul nak bertanding,” jelas Kamarul lagi, tangannya menyeluk sesuatu dalam tas tangan, lalu dia mengeluar suatu kertas. “Nah, abang tengoklah sendiri.”

Lidah makin terasa dijahit selepas menangkap sebaris demi sebaris ayat-ayat yang tertera di atas sekeping kertas itu. Ya, kertas yang ditunjukkan Kamarul itu adalah sekeping notis yang baru ditanggalkannya di desa siswa beberapa hari lalu.

Musim ini, musim pilihan raya di kampus. Semua pilihan raya kampus dijalankan hampir serentak. Tapi, notis dikeluarkan sangat lewat dan Kamarul serta rakan-rakannya tak tahu bilakah tarikh untuk menamakan calon serta tarikh untuk berkempen.

Pilihan raya kampus yang sepatutnya meriah, kini bertukar hambar. Seafdalnya, sebulan atau selang beberapa minggu sebelum tarikh pembuangan undi, notis-notis tentang PRK (pilihan raya kampus) ini mesti ditampal sebagai langkah persediaan.

Tetapi, itu fenomena pilihan raya sekitar 1990-an. Akhir 1990-an, suasana PRK pun mula suram. Demam pilihan raya mula menunjukkan tanda-tanda kebahnya. Kini, tiada lagilah demam-demam pilihan raya itu. Semuanya 'sihat-sihat' belaka. Tiada haru-biru PRK.

Demikianlah betapa indahnya demokrasi dalam kampus kita. Aku menyemak semula dan membelek-belek notis itu berulangkali. Ada cop daripada pihak atasan dan bukan sabotaj daripada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jadi, bagaimana sekarang ni bang?” Kamarul menagih jawapan. Dia tahu, aku tidak pernah bertanding untuk merebut jawatan dalam mana-mana exco tertinggi, biro di dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Namaku Zaidi, penyunting Lentera Jingga atau kependekan namanya, LenJa.

Suatu ketika dulu kami pernah digelar gergasi Lentera Jingga. Sebenarnya kami juga penakut. Tetapi keghairahan kami untuk bercakap benar mengatasi ketakutan itu. Lalu, warga kampus menggelar wartawan LenJa sebagai gergasi. Apa nak buat? Kita terima sahajalah gelaran yang bukan dari istana itu.

Kami hanya pelapor berita yang menulis hal-hal kecurangan, melapor pelacuran demokrasi yang diatasnamakan dengan sikap mahu menjaga nama baik kampus. Tapi, sebenarnya semua orang tahu - bahawa pentadbir kampus berasa risau jika mereka dilihat bersubahat atau pun terpengaruh dengan unsur dakyah pihak luaran kononnya.

“Berapa harga borang ni?” aku bertanya Kamarul. Dahinya berkerut mengingatkan sesuatu.

“Kalaulah tak silap, sekeping borang pencalonan MPP tu ada yang berharga RM50. Ada kawan Kamarul cakap, borang tu dah dijual dengan harga tinggi, sampai RM100 pun ada juga,” balasnya kembali.

“Kau ada duit?”

“Mana ada bang, duit PTPTN pun tak masuk lagi ni…”

Jubah kemurungannya tadi yang terlipat jauh terperosok di dalam hatinya sudah pun berjaya aku tarik keluar. Dan, selaut tsunami resah yang melimpah, melanggar tebing hatinya telah kering, terganti dengan semangat baru, iaitu dia ingin melawan kembali.

Sikap liar

Sebenarnya, dalam jiwaku masih berkeladak rasa ketakutan dan berkubang jua rasa bimbang yang bukan kepalang kalau-kalau dia terbabas, dihanyutkan oleh deretan sikap liarnya selama ini.

Harapan ayah bonda boleh dipatahkan dan layar kegembiraan boleh terkoyak oleh kerana kenakalan berganda adikku yang seorang ini.

“Bila kawan-kawan Kamarul dah beli borang tu, puas kami cari dekan fakulti, tak dapat-dapat. Kami cari pegawai-pegawai lain, NC pun tak dapat-dapat juga,” sambungnya lagi.

Aku garu-garu kepala mendengar kisah gelapnya itu. “Habis tu, macam mana?”

“Kami tak dapat tandatangan mana-mana pegawai sampailah ke sudah,” kata Kamarul. “Yang dapat tandatangan tu, cuma siswa-siswa daripada Bahtera Merah.”

Aku dengar juga, bahawa rakan-rakan Bahtera Merah selalu memihak kepada pihak TNC kampus. Sebab itu, mereka dapat banyak kemudahan. Tapi, biar adil dalam sayembara demokrasi. Kalau tidak, mahu diusung ke mana makna demokrasi dalam kampus hari ini?

Perlahan-lahan, ingatanku melayang pada zaman yang lalu. Ketika aku hampir meninggalkan alam kuliah, bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) baharu saja memutuskan dasar yang menggemparkan seluruh warga universiti; pilihan raya kolej dimansuhkan, lalu digantikan dengan sistem lantikan oleh HEP sendiri.

Lentera Jingga mengambil satu pendirian; menolak amalan lantikan exco majlis tertinggi kolej kediaman itu sekali gus mendesak agar semangat demokrasi dikembalikan. Pilihan raya desasiswa dan kolej kediaman itu harus dikekalkan seperti keadaan asal.

Itu tajuk muka depan. Itu juga yang kutulis dalam rencana pengarang. Dekan tahu tajuk muka depan akhbar kami. Dia membaca seluruh isi rencana pengarang yang aku tulis.

“Keras benar kecaman si Zaidi ni,” dekan kami, Dr Zain berkata kepada Dr Latifah, pada suatu hari. Dr Latifah, pensyarah yang membantu LenJa. Kami kecewa dengan pendiriannya yang cepat berubah. Ada masa dia seperti menyebelahi kami. Dan, ada masa dia seperti menyokong pemerintahan dewa-dewa di kampus.

“Dia lalang…” kata Bee Ling ketika merujuk pendirian guru kami. Sebab itu, akhbar Lentera Jingga tidak dapat keluar awal. Dekan sendiri yang sekat. Dia khuatir HEP marahkannya.

Jadi, bagaimana kami menyelesaikan masalah ini? Maka, pada suatu petang, Marwan dan Bee Ling mendesak aku agar segera memanggil semua 44 ahli LenJa.

“Awak kena buat sesuatu Zaidi,” tegas Marwan ketika kami minum-minum petang di cafĂ© Bakti. Bee Ling turut serta dalam bualan itu, menunggu waktu untuk mencelah bualan dan menyampuk bicara apabila tiba masanya yang sesuai.

“Kalau tidak dibuat sesuatu, kelak hal pemansuhan pilihan raya oleh TNC HEP ini akan dianggap sah,” balas Marwan lagi. Aku risau benar. Siswa Melayu amat takut. Pelajar India tak nampak bantah pun. Dalam apa jua hal, siswa Tionghua yang nampak berani ke depan.

"Ya, dan buat selama-lamanya, peraturan baharu ini akan dilihat kekal dan digunapakai untuk mahasiswa selepas kita," akhirnya Bee Ling bersuara. Aku masih juga merenungkan suatu hal. Kita semua sepakat bahawa pemansuhan pilihan raya desasiswa itu bererti amalan demokrasi universiti sudah mati.

Melihat aku diam lama, Bee Ling menyuarakan hasratnya, “Awak kata ya saja, saya akan hubungi semua kawan kita. Jangan peduli soal sokongan. Kita akan bantu awak sedaya upaya.”

Janji Bee Ling ini membawa maksud, jika aku anggukkan kepala sahaja, maka gadis Cina dari Melaka itu akan menelefon semua para wartawan Lentera Jingga untuk bermesyuarat malam ini di bilik balai berita.

Betul. Petang itu, ketika aku anggukkan kepala saja di depan Marwan dan Bee Ling, maka hampir semua wartawan LenJa sudah berkumpul pada sebelah malamnya di Balai Berita akhbar kami. Mereka menunggu perkataanku sebagai Ketua Pengarang.

“Kita semua dah buat keputusan sebelum ni, kenapa panggil mesyuarat lagi?” Zainuddin bertanya. Dia ternyata keras kepala juga. “Awak buang masa saja Zeck." Ini nama timangan yang mereka berikan kepadaku.

“Sabar dulu Din,” Marwan mencelah, udara dalam Balai Berita terkepung. Alat pendingin hawa seperti tidak berfungsi. Tidak terasa langsung kedinginan. Bilik itu panas berkuap dan kalaulah dingin, bilik itu belum dapat menendang kepanasan yang berlarutan itu.

“Ada maklumat terkini,” aku mula bersuara. “Dekan dah cuba melewatkan penerbitan LenJa. Akibatnya, LenJa tidak dapat diedarkan sehinggalah kita bersedia menarik semula rencana yang mengkritik keputusan HEP yang terbaru.”

“Maksud kau, keputusan HEP nak mansuhkan pilihan raya desasiswa?” tanya Zainuddin.

“Ya, dan selagi kita tidak rombak semula muka depan dan aku tidak tukar semula tajuk dan isi rencana pengarang tu, selagi itu LenJa tidak akan beredar kepada warga kampus.”

“Itu dah melampau,” balas Zainuddin lagi yang terkenal dengan panas barannya itu.

“Kau ada idea Din?” aku bertanya rakanku dari Perak itu.

“Tak ada cara lain, kita mesti pertahankan setiap berita. Kalau dekan tidak mahu LenJa terbit nanti, biar orang tertanya-tanya dan kita dedahkan cerita sebenar kepada orang. Dan, biar orang tahu, dekanlah punca sebenar kenapa LenJa lambat diedarkan kepada orang-ramai.”

Zainuddin punya auranya yang tersendiri. Apabila dia mengangkat suaranya, ramai orang yang akur dengan pendapatnya.

Esoknya aku mengetuai rombongan wartawan. Kami nyatakan keputusan rasmi seperti yang baru diputuskan semalam. Kami ugut dekan – pendirian kami tetap tidak berganjak, kalau orang bertanyakan kami, dekanlah yang didakwa sebagai penyebab kepada kelewatan LenJa.

Barangkali, oleh sebab kami tetap berdegil, maka dekan pun mengalah dan LenJa pun tersiar.

Tapi, itu cerita lama. Ia sebuah kisah silam daripada gerabak sejarah lalu ketika aku memimpin akhbar di kampus bersama rakan-rakan. Kisah silamku ini yang telah kupersembahkan kepada adikku, Kamarul.

“Cerita lama tu bang, habis masalah kami ni nak buat macam mana?” dia mendengus lagi kerana barangkali bosan mendengar cerita-ceritaku yang asyik berulang-ulang.

“Abang yakin kamu semua berani,” aku menyusun lambat-lambat perkataanku, kurenung sedalam-dalamnya matanya yang berkaca. “Kau orang mesti cuba bertindak banyak kali.”

Kegemilangan

Aku jelaskan kepada Kamarul, bahawa kampus-kampus hari ini sedang mengejar status sebagai universiti bertaraf penyelidikan. Para pemimpin kampus ingin universiti mereka mencapai kegemilangan, memasuki senarai 200 buah universiti terkemuka di dunia.

“Jadi? Apa kaitannya dengan masalah kami,” adikku dibelenggu panasaran. Hatinya diikat rasa ingin tahu mendadak yang membuak-buak.

“Carilah jalan, biar isu demokrasi kampus jadi sebab kepada pencapaian, pemarkahan dan mutu universiti,” aku beri saranan. “Selama ni, kepemimpinan pelajar tidak diangkat sebagai sesuatu yang menyumbang kepada pemarkahan untuk penarafan universiti.”

“Semua laporan kes kecurangan ni, kau mungkin boleh hantar kepada pihak antarabangsa untuk disiasat. Kalau teruk masalah demokrasi di kampus, jadi kuranglah markahnya.”

Kamarul terdiam. Akalnya keras memikirkan sesuatu. Apakah akan berkesan cara begini? Hal itu pula yang dia tanya. Persoalan mengenai hal itu, sedang melantun-lantun dalam fikirannya. Berulangkali dia bertanya soalan yang sama dan aku hampir-hampir putus asa melihat sikapnya.

“Cubalah dulu, kita tak tahu apa kesudahannya,” kataku lagi. “Kita dah cuba di dalam negeri dan bertemu orang-orang kementerian, sekarang, kau cuba bawa hal penyimpangan pilihan raya ini kepada pihak luar.”

Bualan petang itu mengheret jendela waktu ke Maghrib. Gerimis senja itu sudah lama juga berhenti. Cicak-cicak mula menyanyi di tembok. Dua pasang mata kami masih setia menangkap panahan petir yang makin pudar saat memercikkan nyalanya di udara petang yang mula berlabuh ke dermaga malam.

Sebentar lagi, bulan yang mengambang penuh itu akan berlayar, dan ia akan meratap hiba setelah menyaksikan sekian banyak penderitaan yang menjalar di wajah bumi. Merenung awan di langit, kembali berpintal persoalan yang kini sarat terpenuh di dalam muatan gedung akalku.

Apakah Kamarul dan rakan-rakannya akan sanggup melakukan tindakan seperti ini? Aku, sekadar ‘orang lama’, hanya mampu memberikan saranan demi saranan. Tetapi, dapatkah mereka melaksanakan segala tindakan? sumber

Suka entri ini? (=^_^=)

--------------------------- (=^_^=) ------------------------------

Related Posts with Thumbnails

Followers

© 2010 Genius Resources is proudly powered by Blogger