KOTA BHARU 8 Nov 2010. – Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak bagi memperkembangkan penggunaan dinar emas dan dirham perak.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan Perak kerana negeri itu pernah mengumumkan untuk melaksanakan penggunaan dinar dan dirham sebelum ini.
“Kita akan bekerjasama jika dinar emas dan dirham perak yang akan dilaksanakan negeri itu nanti melaksanakan dinar yang betul (menepati piawaian antarabangsa yang sah),” katanya menjawab soalan Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Malahan Husam berkata, pihaknya akan memperluaskan penjualan dinar dan dirham yang dikeluarkan di Kelantan ke Selangor dan Terengganu dengan menggunakan ejen swasta yang disyaratkan perlu mempunyai modal RM500,000 bagi menjadi ejen.
Beliau berkata setakat ini bekalan dinar emas di Kelantan tidak mencukupi disebabkan permintaan yang menggalakkan dan pihaknya sentiasa mengalukan pelaburan daripada luar untuk memperluaskan pelaksanaan dinar emas dan dirham perak.
Husam berkata, kerajaan negeri sedang menunggu satu pelaburan daripada luar yang akan membuat pelaburan RM5 juta bagi membolehkan dinar emas dikeluarkan.
“Kita juga merancang untuk menubuhkan sebuah institusi simpanan atau wadiah yang bertujuan menyimpan dinar kerana buat masa ini kita tidak mempunyai wadiah yang rasmi,” katanya.
Jika institusi simpanan itu dapat ditubuhkan, Husam berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan kad yang dinamakan kad e-dinar yang boleh digunakan oleh pengguna untuk melakukan transaksi dinar dan dirham di seluruh dunia. – Sumber BERNAMA
Suka entri ini? (=^_^=)
0 comments:
Post a Comment