Click ... Terima kasih.

Click Me! Click Me! Thanks
Looking for gifts for birthday, wedding, anniversary etc?
Ingatkan daku...
Ingatkan kesilapan dan kesalahanku kerana Sayangmu,
Bukan kerana benci dan cemburu...
{wansiti}

Search

POST-TO-DO

DEALER TOPUP MALAYSIA
SEWA RUMAH DI KOTA BHARU, KELANTAN PENGANGKUTAN DISEDIAKAN
Tambah PENDAPATAN Paling Mudah Dengan SIMPAN EMAS!!!

Melayu-Muslim- Ekonomi, Budaya & Agama Islam


Artikel ini merupakan artikel asal yang diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 24 Jun 2010 dengan beberapa pindaan oleh pihak editor.

Dalam siri rencana sebelum ini, saya telah memaparkan betapa masyarakat lebih menumpukan perhatian kepada jutawan atau bilionair individu dalam senarai 500 terkaya Forbes Asia (atau Fortune 500 di peringkat global). Lantas ahli bisnes dan eksekutif korporat, termasuk semua usahawan Malaysia, berlumba-lumba dan bercita-cita memasuki senarai terbabit.

Keghairahan memasuki senarai Forbes dan Fortune 500 mudah difahami. Siapa yang tidak mahu kaya? Namun, jarang sekali dilihat masyarakat memikirkan implikasi jangka panjang yang berpotensi melemah dan merosakkan andainya tren ini keterlaluan.

Kenapa Fortune 500 dan Forbes Asia hanya fokus kepada kekayaan individu, dan langsung tidak mengambil kira nilai saham milik bersama masyarakat, misalnya yang dimiliki GLC, koperasi dan seumpamanya, dalam senarai jutawan atau pencapaian cemerlang yang perlu diiktiraf, dicontohi dan diberi dorongan?
Perhatikan bahawa Fortune 500 dan Forbes Asia berasal dari Amerika. Ini bermakna nilai hidup Amerika yang sangat individualistik dan ideologi bisnes nafsu-nafsi mereka cuba ditonjolkan Forbes dan Fortune dengan niat ia dicontohi oleh bangsa-bangsa lain.

Sesungguhnya, seluruh sistem ekonomi pacuan bisnes di Amerika meletakkan kepentingan individu di atas segala yang lain. Kesannya, seluruh sistem bisnes dan korporat mereka terfokus kepada individu. Dalam konteks bisnes global yang dikuasai organisasi korporat gergasi mengikut acuan yang Barat perkenalkan, kaedah individualistik ini menyebabkan sistem ekonomi dunia menjadi terlampau "shareholder-centric".

Ini bermakna kepentingan pemegang saham diutamakan dan hak mereka dilindungi undang-undang sehingga sistem ekonomi seolah-olah tidak lagi bersimpati terhadap kepentingan komuniti dan kebajikan ramai. Ia juga membawa implikasi besar setelah institusi lain dalam masyarakat dirosakkan oleh kepentingan melampau individualistik, termasuk institusi keluarga dan sosial lainnya. Jurang pendapatan semakin melebar dan dalam banyak hal, masyarakat tidak ambil peduli kepentingan mereka yang tidak berada dan berharta.

Nilai individualistik ini telah berakar umbi dalam budaya Amerika sehingga menjadi darah daging mereka. Terdapat peristiwa dalam sejarah pembangunan bangsa Amerika di mana mereka dengan keras memerangi pembawaan yang tidak selari dengan kepentingan individualistik. Misalnya, pemerintah Amerika pernah merampas hak kaum asli Red Indian Cherokee di California dengan menggunakan kuasa undang-undang khas.

Menerusi Akta Dawes (iaitu Dawes Act, 1887), kuasa kerajaan digunakan untuk merampas tanah hakmilik komuniti Cherokee. Senator Dawes (pengasas Akta terbabit) menegaskan bahawa bangsa Cherokee mesti "ditamadunkan" secara paksa, "… kerana mereka tidak mementingkan peribadi, iaitu sesuatu yang menjadi teras kepada tamadun" ("There is no selfishness, which is at the bottom of civilization").

Sebelum kedatangan orang kulit putih, bangsa Cherokee adalah satu-satunya bangsa Red Indian yang tinggi budaya dan berjaya membentuk sistem peradaban serta institusi pemerintahan sendiri berteraskan hakmilik bersama ke atas harta kekayaan yang dipegang komuniti. Namun, setelah ditewaskan kuasa politik dan senjata canggih bangsa kulit putih, sistem budaya mereka dimusnahkan. Peristiwa tragis ini disifatkan seorang penulis Amerika (Willaim Ophuls dalam bukunya bertajuk "Requiem for Modern Politics" atau "Talkin untuk Politik Moden") sebagai "pembunuhan zalim satu budaya" atau satu "cultural genocide" .

Malang yang menimpa bangsa Cherokee ini jelas berpunca daripada perbezaan nilai budaya. Ciri nilai budaya yang bertentangan dengan nilai individualistik dianggap orang kulit putih Amerika sebagai "nyamuk" yang memberi mereka alasan untuk "membakar kelambu" bangsa Cherokee. Matlamat sebenar ialah untuk memaksa bangsa Cherokee berpindah ke pendalaman demi mendapatkan emas yang terdapat dalam tanah yang mereka duduki ketika itu di California.

Biarpun Melayu-Muslim Malaysia mempunyai nasib jauh lebih baik berbanding bangsa Cherokee, kita harus menjadikannya sebagai pengajaran dan iktibar dalam mengatur strategi mencari masa depan yang lebih cemerlang. Sebagaimana bangsa Cherokee, Melayu-Muslim kini terhimpit dalam mengutamakan kepentingan masyarakat dan umat, sekali gus memperjuangkan keadilan serta menegakkan iman dan amanah sebagaimana dianjur Islam.

Namun, hari ini, ketika Model Baru Ekonomi (MBE) dirangka, terdapat tentangan kuat terhadap anjuran supaya dikekalkan keseimbangan kekayaan ekonomi bagi melindungi kepentingan besar masyarakat sebagaimana anjuran Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini. Antara hujah atau alasan digunakan ialah:-

1. Pelaksanaan dasar pembahagian lebih saksama membabitkan campur tangan kerajaan ke dalam bisnes yang boleh mengakibatkan kronisme, salah guna kuasa dan korupsi. Kita perhatikan doktrin individualistik seperti dianjurkan Amerika tidak senang dengan peranan kerajaan dalam mengurus ekonomi, sekalipun bertujuan memperbaiki ketidakadilan dan merapatkan jurang pendapatan ekstrem;

2. DEB dikatakan mengakibatkan pembaziran sumber setelah berlaku ketidakcekapan pentadbiran apabila pelaksanaan program gagal memanfaatkan kumpulan sasaran. Ini dilihat, misalnya dalam kegagalan program pembangunan usahawan dan membentuk satu masyarakat bisnes dan industri Melayu-Bumiputera berwibawa;

3. Berlakunya ketirisan dan kebocoran hakmilik di kalangan Melayu dan Bumiputera setelah mereka gagal membina keupayaan dan dayatahan serta selepas ramai yang mengambil jalan ringkas dan cara mudah dengan menjual kepentingan,

4. Kebocoran lebih besar kerap berlaku di peringkat atasan (kalangan korporat) sekalipun ada di kalangan mereka yang lebih berpengalaman dan terlatih dalam bisnes dan pengurusan tinggi. Sebagai contoh, terdapat kehilangan hak milik saham bernilai beratus juta ringgit dalam kepentingan beberapa syarikat yang diswastakan. Kesannya, hari ini cuma sejumlah kecil yang dapat bertahan dan menyumbang kepada matlamat menyeimbangkan kedudukan;

5. Kaedah yang digunakan sebelum ini mengikut saluran pentadbiran kerajaan (policy-driven, dan bukan market-driven) menyebabkan kegagalan. Keputusan selalunya dibuat atas budibicara seorang-dua yang berkuasa penuh, khasnya dalam politik atau pakatan beberapa orang pentadbir. Kaedah tidak telus dan terbuka, sekalipun berniat baik telah menimbulkan prasangka dan spekulasi yang lebih merosakkan. Terma penswastaan serta kaedah pembiayaan dan penggunaan sumber awam biasanya diputuskan berdasar pertimbangan politik dan pentadbiran yang arbitrari, sehingga membantut kejayaan.

Andainya MBE meneruskan kaedah yang sama, kerajaan akan dituduh memilih kasih, langsung merosakkan suasana persaingan di pasaran. Tuduhan seperti ini sangat payah disangkal. Terdapat juga mereka yang menentang DEB menuduhnya sebagai perkauman. Kerana terlalu keras tentangan mereka, kita lihat MBE seolah-olah menjadi apologetik, segan menerima sebarang cadangan dan terhalang daripada mencari strategi keadilan ekonomi bertujuan membela nasib dan melindungi kepentingan golongan bawahan.

Kita akui DEB banyak kelemahan, terutama dalam pelaksanaan. Malangnya, kita seperti telah langsung mengalah. Setelah berlaku banyak kesilapan, kelemahan, keterbabasan dan penyelewengan, seluruh matlamat dasar dan niat asal memperjuangkan keadilan ekonomi seolah-olah diketepikan. Lebih berbahaya, kerana terlalu apologetik dan segan, kita sendiri mengizinkan mereka yang menentang membakar "kelambu" kita dengan mengenepikan salah satu nilai teras perjuangan bangsa yang selama ini menjadi identiti negara, menyatukan dan memperkukuh kestabilan masyarakat Malaysia. Nilai teras ini ialah nilai kesaksamaan dan keadilan sosio-ekonomi yang selama ini meyakinkan setiap warga Malaysia terhadap masa depan bersama.

Yang membimbangkan ialah ciri MBE yang condong membina keupayaan persaingan negara dalam pasaran global mengikut acuan nilai individualistik sepenuhnya. Terdapat tanda-tanda MBE cenderung menciplak sistem ekonomi kapitalisme Barat (ala Amerika Syarikat/Britain), yang terlampau liberal dan terbuka sehingga sanggup mengenepikan sama sekali peranan kerajaan dan memperkecilkan GLC, koperasi dan seumpamanya.

Dalam mengejar pertumbuhan pesat ekonomi, ramai yang berminat membuang dimensi keadilan ekonomi daripada teras dasar dan pilihan strategi. Ini ghairah dilakukan apabila strategi alternatif yang menjamin keadilan ekonomi tidak diutamakan MBE kerana pemikiran atau mindset mereka yang merangkanya dipengaruhi dan didominasi pemikiran Barat tadi.

Ideologi kapitalis di bawah teraju bisnes dan korporat Barat sangat besar pengaruhnya. Menurut ideologi ini, strategi paling sesuai untuk mencapai pertumbuhan pesat ialah dengan mengutamakan kepentingan individu dan unit kecil, termasuk kepentingan keluarga. Sebagaimana anjuran Forbes dan Fortune, kejayaan diukur daripada sejauh mana harta kekayaan dihimpun di tangan individu dan keluarga. Kepentingan kelompok besar tidak lagi diambil kira dan seolah-olah "tidak bertamadun" kerana tidak berteraskan "selfishness"!

Begitu juga kepentingan komuniti dan masyarakat serta nilai budaya jemaah yang terdapat di kalangan umat Islam dilihat tidak penting. Semua itu disifatkan sebagai jumud dan menjadi penghalang kemajuan serta harus digantikan dengan nilai individualistik ala Barat sebelum negara seperti Malaysia boleh maju ke depan.

Kesimpulannya, kita tidak harus membiarkan nasib malang bangsa Cherokee menimpa Melayu-Muslim dalam mempertahankan nilai dan memperjuangkan pegangan hidup. Kalau pun kita marahkan beberapa ekor "nyamuk" DEB yang membantutkan cita-cita bersama sebelum ini, "kelambu" keadilan ekonomi tidak wajar dibakar.

Kini tiba masanya Melayu-Muslim menegaskan supaya MBE tidak cuma mengambil jalan mudah menciplak sistem ekonomi yang bercanggah dengan nilai budaya Islam dan bangsa Asia lain. Kita perlu terus mengutamakan kepentingan besar komuniti dan masyarakat. Sesungguhnya, tidak harus ada segan dan apologi dalam memperjuangkan keadilan dan menjadikan amanah teras sistem ekonomi negara.

Sepertimana ucapan, Muhammad Ali Hashim pada 23 Jun, 2010
--Tan Sri Muhammad Ali is Chief Executive Officer of Johor Corporation (JCorp), and has been CEO since January 1, 1982.


Suka entri ini? (=^_^=)

--------------------------- (=^_^=) ------------------------------

Related Posts with Thumbnails

Followers

© 2010 Genius Resources is proudly powered by Blogger