Post motivasi dan teguran yang menarik; kebiasaan dan adat yang perlu diubah di alam pekerjaan.
Tahun ini, masuklah tahun keenam saya berada dalam alam pekerjaan secara rasminya.
Tempoh tersebut bagaimanapun tidak merangkumi penglibatan saya sebagai guru sekolah sambilan selama lima tahun (antara 2000-2004) di St. John’s Institution, antara institusi pendidikan yang tersohor di tanah air.
Jika mengambil kira pengalaman sebagai staf sambilan, maka saya boleh berbangga untuk mengatakan telah pun berada dalam alam pekerjaan lebih satu dekad lamanya.
Kali pertama menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, perasaan teruja, seronok malah antisipasi mewarnai karakter saya. Saya secara naifnya pernah memberitahu rakan-rakan seperjuangan bahawa mahu mencapai sesuatu bermakna dalam hidup. Maka diletakkan sasaran yang agak tinggi untuk menyuntik semangat diri agar terus berusaha merealisasikan impian belum terlaksana itu.
Sepanjang berada dalam alam pekerjaan yang boleh saya sifatkan medan pembelajaran penting, saya berkesempatan untuk memerhati, meneliti dan menilai sendiri telatah, perwatakan serta sejauh mana komitmen mereka terhadap kerjanya.
Menariknya dalam tempoh lebih enam tahun berada dalam alam pekerjaan, saya melihat segala-galanya, yang baik mahupun kurang baik. Semuanya membuka mata dan pandangan terhadap kepelbagaian watak manusia.
Beberapa insiden berikut yang kurang menyenangkan menyedarkan saya betapa pincangnya profesionalisme dan sikap segelintir pekerja-pekerja kita. Insiden pertama ketika saya mengunjungi sebuah pusat beli-belah untuk membeli peralatan dapur rumah.
Dalam insiden tersebut, saya cuba mendapatkan butiran lanjut daripada seorang jurujual. Jurujual terbabit pada dasarnya dilihat agak berpengalaman dan sepatutnya tahu selok-belok urusan operasi tempat kerjanya. Malangnya, apabila diajukan soalan, secara selamba dia berkata: “Tak tahulah, saya bukan in-charge di sini. Boleh tanya orang di kaunter sana."
Satu lagi insiden sukar dilupakan ialah ketika bekerja di sebuah syarikat kecil yang kakitangannya hanya beberapa kerat sahaja, datang dari pelbagai latar belakang dan bangsa. Semuanya hebat-hebat belaka! Cuma satu perkara mendukacitakan, sikap segelintir pekerja-pekerja di syarikat itu yang semacam kisah jurujual saya sebutkan tadi. Barangkali kerana sudah lama berkhidmat, merasakan mereka lebih berpengetahuan, sikap buruk dan mengada-ada mula menjadi-jadi. Tabiat buruk seperti “Saya tidak tahu” dan “Saya tak ada komen" mula mewarnai suasana persekitaran di tempat kerja.
Saya pernah ajukan pertanyaan kepada seorang daripada staf di pejabat mengenai operasi kerja dengan harapan memahami lebih mendalam terhadap urus tadbir pejabat. Namun, reaksi diberikan ternyata mengejut dan mengecewakan. Bukan sekali tetapi beberapa kali dalam nada kurang enak.
Saya tidak sangka insiden memalukan ini berlaku dalam sebuah syarikat kecil. Selama ini, saya hanya bertanggapan budaya politiking hanya berlaku di syarikat-syarikat besar. Ternyata pandangan saya meleset dan ia merobah persepsi saya selama-lamanya.
Sebenarnya tidak salah untuk berbuat demikian kerana itu hak mereka. Dalam kerangka sistem demokrasi, tidak ada peruntukan yang membataskan seseorang untuk tidak boleh buat itu dan ini. Boleh dikatakan staf-staf di tempat kerja saya menggunakan kelonggaran dalam sistem demokrasi dengan bijak sekali.
Sama ada kata-kata “Saya tidak tahu” atau “Saya tidak ada komen” yang dilontarkannya dalam kedua-dua insiden itu adalah sahih ataupun kepura-puraan semata-mata untuk tidak menjawab persoalan yang dilontarkan, hanya mereka sahaja mampu menjawabnya.
Dengan mengatakan “Saya tidak tahu” acap kali diajukan soalan, situasi tersebut bukan hanya memberi gambaran bahawa si pekerja itu seorang yang tidak berani menggalas tanggungjawab, tetapi tidak secure sifatnya.
Imej yang dapat diterjemahkan daripada sikap itu ternyata tidak memanfaatkan negara dari aspek PRnya. Pelabur-pelabur asing di luar sana selepas ini mungkin akan berfikir dua kali sebelum datang ke Malaysia untuk melabur.
Tahap produktiviti negara pula akan terus merosot sementara kadar pertumbuhan ekonomi juga akan terkena tempiasnya, dan apabila sikap pekerja-pekerja kita sudah sampai ke tahap sebegitu, jangan salahkan pelabur asing kerana tidak datang melabur.
Kesudahannya, kesemua keringat yang diusahakan Kerajaan dalam menggalakkan persaingan sihat hanya akan menjadi retorik semata-mata ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Segalanya tidak akan membawa sebarang makna lagi.
Oleh itu, sebagai sebahagian daripada tenaga buruh dalam pasaran kerja, kita perlu menanamkan sikap proaktif dan sentiasa bersedia memberikan yang terbaik kepada kemajuan syarikat. Hanya dengan berkata “Saya tidak tahu” atau “tiada komen” tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya itu hanya satu escapisme kurang bijak. Malah jangan terkejut sekiranya tabiat buruk ini akan kembali menghantui anda satu hari nanti!
Jika saya seorang pengurus sumber manusia yang ingin mengambil staf baru untuk pengembangan operasi, sudah tentu staf-staf sebegini tidak akan saya pertimbangkan. Jangan biarkan sindrom “Saya tidak tahu” atau “Tiada komen” menjadi sebahagian daripada budaya kita. Sudahlah negara kita dikejutkan dengan beberapa gejala tidak sihat kebelakangan ini, kehadiran tabiat buruk ini tidak akan banyak membantu.
Untuk bergerak ke hadapan, negara memerlukan sebuah barisan tenaga pekerja yang bukan sahaja produktif dan komited, bahkan menuntut profesionalisme terbaik. Ingat sikap dan perwatakan mencerminkan keperibadian seseorang. Negara sudah pasti rugi sekiranya sikap sedemikian dibiarkan berlarutan.
Sudah tiba masanya kata-kata “Saya tidak tahu” diubah kepada sesuatu yang lebih positif, memberikan kemajuan kepada prestasi sesebuah syarikat secara amnya dan produktiviti negara, khasnya.
Anda bagaimana? Adakah anda juga seorang pekerja yang mempunyai sikap “saya tidak tahu” di atas? Kalau ya, ubahlah dari sekarang!
Suka entri ini? (=^_^=)
2 comments:
terima kasih dengan info ini :)
sama-sama,
semoga bermanfaat ^_^
Post a Comment