Petua keenam untuk mudah ingat apa yang anda pelajari ialah mudah iaitu, ‘tulis‘. Saya selalu perhatikan gelagat pelajar semasa berada di dalam kelas, ceramah atau kursus. Mereka selalu leka mendengar atau mengelamun tanpa berbuat apa-apa mengenai apa yang mereka dengar.
Perkara ini juga mengingatkan saya kepada seorang ustazah saya yang mengajar bahasa Arab semasa saya di tingkatan 3, Ustazah Fatimah.
Ustazah saya ini terkenal dengan ungkapannya, “Ha…catatlah….”. Setiap hari dan hampir setiap kelas Ustazah akan menyuruh dan mengingatkan kami untuk mencatat apa yang kami pelajari.
Walaupun kami sedar apa yang ustazah ajarkan sangat penting, kami selalu leka dan tidak mencatatnya. Kini, saya benar-benar boleh melihat mengapa Ustazah Fatimah beria-iya benar mahu kami mencatat apa yang telah kami pelajari. Satu sebabnya anda pasti sudah tahu bahawa kita mudah lupa.
Dengan mencatat atau menulis apa yang baru kita pelajari, kita boleh merujuk kepadanya pada bila-bila masa sahaja. Kedua, apabila anda menulis apa yang anda pelajari, fikiran anda akan fokus kepada apa yang anda tuliskan itu. Jadi, anda tidak akan leka. Minda yang fokus kepada sesuatu yang dipelajari akan lebih mudah mengingatinya.
Ada beberapa tips untuk menulis apa yang anda pelajari.
* Pertama, anda tidak semestinya menulis bulat-bulat apa yang guru anda tuliskan di papan hitam. Apa yang patut tulis adalah berdasarkan apa yang anda faham. Tulis dalam bentuk yang anda boleh faham.
* Kedua, jika anda menyalin nota yang guru anda berikan, buat penerangan kecil dalam ayat anda sendiri tentang maksud nota yang anda salin itu. Contohnya, jika anda menyalin nota yang menunjukkan jalan kerja matematik, anda boleh tuliskan penjelasan menggunakan ayat anda sendiri (jika boleh, menggunakan pen warna berbeza) tentang jalan penyelesaian matematik. Ini supaya anda faham apa yang berlaku di dalam jalan penyelesaian matematik itu kelak.
Anda perlu ingat, antara menulis nota dan mendengar penjelasan cikgu, yang kedua adalah lebih penting. Ini bermaksud, jika guru anda sedang menerangkan tentang sesuatu, berhenti menulis dan dengar penjelasannya dengan teliti. Tulisan anda tidak akan bermakna jika anda tidak faham apa yang guru anda terangkan.
Jadi kreatif. Anda boleh reka nota dan tulisan anda sendiri. Nota patut jadi sesuatu yang menyeronokkan untuk dibaca. Gunakan warna. Gunakan lukisan. Kadangkala penerangan guru anda boleh ditulis dalam bentuk lukisan, bukan tulisan.
Selamat mencuba.
sumber: Osman Affan
Suka entri ini? (=^_^=)
0 comments:
Post a Comment