Oleh: As Syahid
Sudah menghampiri dua minggu anakanda puteri saya dilahirkan. Dua minggu yang sibuk yang Allah izinkan saya mengatur cuti seminggu (cuti 7 hari yang diberi) ditambah pula dengan cuti Tahun Baru Cina untuk menjadi pembantu yang cekap di rumah. Ramai saudara dan rakan yang bertanya kepada kami.
“ Berpantang di mana? Siapakah yang menjaga? “
“Sayalah yang menjaganya.” Jawab saya.
Kadang suri yang menjawab
“ Suamilah yang menjaga”.
Pasca bersalin ialah satu tempoh kecematan dan ketelitian supaya si ummi dan anak dapat perhatian yang rapi. Alhamdulillah, sudah masuk anak yang kedua rutin menjaga isteri berpantang sudah dapat dijangka dan boleh dilakukan dengan lebih baik lagi.
Saya teringin mahu menulis tentang rutin pasca bersalin (apa yang perlu seorang bapa lakukan) supaya ini dijadikan panduan buat bakal bapa yang akan menyambut kelahiran baru.
Mudah - mudahan memberikan manfaat.
1. Saat lepas dilahirkan bersedialah untuk mengazankan untaian suci itu di telinga anak sendiri. Jangan lupa untuk anakanda ditahnikkan sendiri oleh tuan sendiri. Saya fikir ini lebih afdhal. Kan anak zuriat tuan sendiri. Inilah hak-hak yang perlu dilakukan seorang bapa. Jangan lupa buat isteri sendiri ucapkan terima kasih kepada suri hati tuan kerana melahirkan zuriat keturunan tuan.
2. Hari ketujuh jangan lupa untuk mencukur rambut anak. Bapalah yang perlu membuat kerja ini. Ini kerana rambut asal sudah lama terendam dan tidak sihat untuk perkembangan anak.
3. Secepat mungkin anak itu perlu mendapat susuan ibunya. Sesukar manapun atau sejanggal mana ibu kandung itu pasti akan bertaut di sini kerana inilah lumrah sunnatullah. Susu ibu paling sempurna dan terbaik. Banyak buku sekarang dan ilmu di mana-mana bagaimana mendapatkan kaedah susu yang terbaik. Mengapa suami mesti menyokong? Sudah termaktub dalam Al-Quran tentang kepentingan susu ibu. Wajib seorang suami memberikan sokongan ini.
4. Jadi, sediakan daripada awal lagi mesin pemerah susu. Ayat Al-Quran menyatakan paling minima 6 bulan dan paling panjang sehingga 2 tahun barulah boleh dipisahkan. Jadi sepanjang tempoh ini berikan sokongan kepada isteri dalam rutin hariannya memerah susu sebelum dia keluar bekerja setiap pagi. Dia bekerja pun untuk tolong keluarga kita kan. Jadi, gunalah duit tuan suami sendiri. Bukankah ini anak tuan juga kan?
5. Uri bayi itu perlulah dibasuh sebersih - bersihnya dan ditanam sendiri oleh tuan. Kaedahnya pun sudah dipermudahkan. Satu hari saya terjumpa sebuah bisnes online yang menyediakan bahan ini. Sungguhpun saya boleh menyediakannya satu – satu, tetapi demi menyokong bisnes kecil - kecilan saya terus sahaja membelinya. (pakej lengkap; garam kasar, asam jawa, kain putih, bikar tanah yang bertutup).
6. Sediakan tukang urut untuk isteri sekurang - kurangnya tiga kali. Ada tukang urut yang sanggup datang sendiri ke rumah, namun ada yang perlu diambil . Elakkan mencari tukang urut yang menawarkan khidmat tangkal. Astaghfirullah saya agak terkejut masih juga diamalkan lagi perbuatan seperti ini.
7. Sediakan air mandi untuk isteri setiap kali isteri mandi. Panaskan air dalam periuk besar bersama dedaun seperti daun lengkuas, kunyit, pandan , serai wangi, daun limau purut dan banyak lagi. Jika tiada dan sukar didapati sudah ada pakej uncang yang disiap khas untuk rutin ini. Angkat dan bawa baldi berisi air itu ke bilik air. Jangan suruh isteri angkatnya pula. Rajinlah google untuk cari uncang mandian tersebut.
8. Amalan bertungku setiap hari supaya menyihatkan organ dalaman isteri. Jika tiada besi tungku bolehlah dapatkan batu besar dari jeram sungai untuk dipanaskan dan dibalutkan dengan daun lengkuas (seperti foto saya di bawah) . Saya panaskan setiap malam dan membungkusnya sebelum saya masuk tidur supaya suri dapat bertungku selepas menyusukan anak.
9. Amalan berminyak hangat dan berbengkung perlu diamalkan. Mujur suri saya orangnya mendengar kata. Ada juga saya dengar ibu - ibu moden yang tidak gemar melakukan semua ini.
10. Makanan yang dimasak khusus untuk kesihatan isteri dan anak. Setiap hari tanpa gagal saya sendiri yang masakkan masakan untuk suri saya. Sup ikan merah.Ikan tenggiri goreng. Ayam digoreng dengan halia. Sayur – sayur yang dibenarkan dan tidak memudaratkan . Mengapa ini penting? Untuk kesihatan isteri supaya bertenaga dan memperbanyak susu untuk anak. Makanan perlu dijaga dengan rapi supaya susu itu berkualiti. Jika rempah atau bahan tidak baik seperti makanan berangin ia akan menyebabkan anak juga sakit kerana susu diperoleh daripada bahan yang dimakan. Anak juga yang akan sakit perut dan sangat memudaratkan.
11. Dapatkan pati ikan haruan di kedai dalam botol kecil-kecil. Pastikan isteri minum untuk kepentingan dalaman. Jika ada ikan haruan segar, memang bagus masakkan dengan hirisan halia untuk dimakan bersama nasi panas.
12. Belilah makanan tambahan; saya sendiri sediakan makanan ‘supplement ‘ untuk tenaga selain saya sediakan minuman Milo, Horlicks, roti , biskut dan lain-lain. Isteri perlu kerap makan dan minum untuk susu anak. Bagaimana mahu dapatkan susu jika ibu malas minum dan kurang makan? Kadang-kadang , saya bertanya sudah minum air tak hari ini? Berapa liter air minum? Kalau sempat saya bancuhkan milo untuk suri saya.
13. Beli set bersalin yang terbaik untuk isteri tuan. Tanamera, Salindah, Anugerah macam-macam ada. Biar produk itu patuh syariat dan berkesan. Tidak semestinya beli yang mahal. Tetapi lakukan kajian di internet. Ada yang boleh ditolak dan tidak digunakan seperti suri saya yang tidak suka memakan jamu kerana kepanasannya.
14. Jangan lupa pula seringkali tetamu datang untuk menziarahi anak tuan yang baharu. Sediakan jajan atau makanan ringan dan air minum. Mujurlah saya berkahwin dengan orang Banting, Selangor. Sempat mengirimkan kerepek yang termasyhur dari adik dan kakak ipar yang datang singgah ke rumah untuk dibawakan ke rumah kami . Jika ada datang rajin dan kelapangannya, saya sendiri akan sediakan pencuci mulut seperti Salted Caramel Brownies, Chocolate Souflee , Apple Pie. Sudah orang datang membawa rezeki masuk ke rumah, jangan biarkan tetamu tidak dijamu makan dan minum sekalipun dengan air kosong dan biskut empat segi.
15. Jangan lupa tuan sendiri yang akan membasuh semua pakaian anak, isteri dan tuan sendiri. Habis tu, siapa lagi nak diharapkan? Basuh, basuh dan basuh. Sudah kering bolehlah minta isteri tolong lipatkan sambil anak tidur. Kalau ada anak sudah besar dan boleh menolong lainlah cerita, kan tuan bakal bapa yang baharu? Siapa lagi? Bangun lebih awal. Pukul lima pagi sudah dikira agak lewat. Pukul 4 atau 4.30 pagi sangat sesuai, lakukan solat malam dahulu. Kemudian buat semua satu persatu.
16. Rumah pastikan bersih dan kemas selalu. Anak yang baru lahir mudah dijangkiti kuman. Tambahan lagi jururawat akan datang setiap hari. Mereka akan memeriksa kesihatan anak terutama kuning anak dan seterusnya mereka melihat kesihatan isteri (mental dan fizikal) dan mereka juga akan meninjau kebersihan rumah.
17. Duit yang selalu disampulkan dan diberikan saat orang menziarahi anak tuan , simpan berdikit - dikit. Sudah ada kelapangan daftarkan di akaun Tabung Haji (kontroversi pulak ya TH sekarang ni) supaya pemberian orang itu dapat diberkati dan ditambahkan pahala mereka.
18. Dalam dua minggu tempoh selepas bersalin, daftarkan nama anak di Jabatan Pendaftaran Negara. Berilah nama-nama yang baik untuk kesejahteraan anak tuan. Nama ini nanti akan dipanggil saat kita bertemu di 'padang akhirat' kelak. Justeru, panggillah dan berilah nama yang baik. Nama yang baik ialah satu doa yang berpanjangan setiap kali nama itu disebut.
19. Banyakkan membaca Quran di rumah, dirikan solat sunat dan tambahkan zikir. Hidupkan rumah dengan keberkatan. Bapa ialah penghulu dan pemimpin. Kalau tidak mampu dengan kerap, sekurang - kurangnya seawal bangun awal pagi selepas solat sunat Tahajjud atau seusai solat Maghrib. Rumah yang tidak dimasuki anasir jahat iblis dan syaitan ialah rumah yang sentiasa dibacakan Quran sepanjang masa.
20. Isteri jangan didorong dan digalakkan menghadap tv dengan menonton segala aneka kecelaruan dan kebobrokan rancangan tv sambil menyusukan anak. Bahaya. Apa yang ditonton, didengar, dibaca menentukan gelombang pemikiran dan seterusnya menentukan tindakan kita secara minda bawah sedar. Contoh adegan isteri marahkan suami, anak maki hamun emak kandungnya, aurat tidak terjaga, hiburan yang lagha yang sentiasa memuja cinta manusia, sudah semestinya, apa yang isteri tuan fikirkan dan seterusnya akan menghasilkan‘spill over effect’ kepada anak susuan tuan. Pilihan yang lain pilihlah TV Hijrah sentiasa. Di rumah saya, tiada tv, tiada Astro hanya ada siaran animasi (downloadable) pendidikan yang saya paparkan untuk anak sulung saya sahaja. Yang ada, hanya siaran radio ikim.fm yang tersiar 24 jam tanpa henti. Ya, tiada drama jam 7 petang sampai hanyut solat Maghrib. Mahu jadi suami dan bapa yang betul-betul , maka tentukan yang betul dan hak.
21. Jangan lupa daftarkan anak dengan Medical Card. Seawal - awal pendaftaran harganya lebih rendah dan ini adalah payung sebelum hujan kecemasan tiba. Daftarkan semua nama termasuk nama tuan, isteri tuan dan anak- anak tuan.
22. Simpan duit untuk duit pengasuh, duit kenduri aqiqah (seekor kambing untuk anak perempuan, dua ekor untuk anak lelaki). Anak yang diaqiqahkan akan diberikan keberkatan sepanjang kehidupannya.
23. Mulailah membaca buku-buku keibu bapaan untuk menambahkan ilmu. Dengarkan tazkirah-tazkirah yang banyak terutama Ustaz Ebit Liew, Ustazah Norhafizah Musa , Ustaz Pahrol (ini semua makanan telinga saya setiap hari) supaya hati kita selalu terdidik menjadi orang yang lebih baik setiap hari.
Saya buat semua perkara di atas dan menceritakannya bukanlah untuk menunjuk. Share dan kongsikanlah senarai di atas untuk tatapan bakal bapa suami puan - puan. Mudah-mudahan tuan (bakal bapa) tahu betapa beratnya tanggungjawab selaku suami dan bapa. Ini baru pasca bersalin. Belum lagi tentang keperluan yang lain - lain.
Saya buat semua di atas supaya mengharapkan suri saya sihat dan saya boleh keluar bekerja tanpa memikirkan kebimbangan di rumah. Apabila isteri sihat dia sudah boleh melakukan rutin di rumah perlahan - lahan. Keluarkan duit sendiri untuk mengadakan semua di atas. Jika kekurangan dan terhad barulah memohon bantuan duit isteri. Minta izin dahulu sebab tugas suami menyara semua tanggungan ini. Supaya bantuan daripada isteri dapat dihalalkan dan tidak menjadi soalan dibangkitkan akhirat kelak. Mulailah menyimpan duit seberapa banyak yang boleh. Gunakan untuk semua kebajikan rumah tangga tuan.
Jadi suami kena jadi pemimpin. Pemimpin kena buat kerja dahulu sebelum orang bawahan lain ikut. Pemimpin kena menjadi orang yang rajin dan berkarisma. Suami ialah tempat isteri dan anak berpayung untuk keselamatan dan kesejahteraan. Mahu jadikan anak soleh dan solehah sayugianya bapalah yang perlu memainkan peranan dahulu. Jangan pula asyik duduk mengadap desktop menghadap online games atau membaca kitab facebook 24 jam sambil membesarkan perut sendiri yang buncit tanpa memikirkan dosa tanggungan semua ini. Apatah lagi duit digunakan untuk rokok tetapi tidak digunakan untuk semua perkara di atas, maka tanggunglah dosanya nanti. (Maaf kalau kasar tetapi inilah hakikat).
Ingatlah , akan dijanjikan pahala yang besar bagi seorang suami dan ayah yang menafkahkan rezeki daripada pekerjaannya. Percayalah, semuanya akan diberkati sekiranya seorang bapa bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang bapa yang bapa yang baik. Dan, seorang bapa yang baik akan menjadi sebab keredhaan Allah.
Sabda Rasulullah SAW: “Jika dia keluar mencari rezeki untuk anak yang kecil, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar mencari rezeki untuk kedua ibu bapanya yang tua, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar mencari rezeki untuk dirinya sendiri, maka dia berada di jalan Allah, dan jika dia keluar mencari rezeki dengan perasaan riak dan membangga diri, sesungguhnya dia berada di jalan syaitan” (Riwayat al-Tabrani).”
Semoga ini menjadi kebaikan bagi bakal bapa dan bakal ibu yang mahu mengongsi dan 'share' tulisan ini.
Foto: Daun lengkuas yang ditanam di luar rumah menjadi manfaat untuk rutin bertungku.