Proton Emas
Emas atau nama panjangnya Eco Mobility Advanced Solutions adalah hasil daripada penyelidikan yang memakan masa bertahun lamanya. Dibangunkan untuk Proton, ianya direka untuk mengoptimumkan ruangan dalaman dan ergonomik masuk dan keluar kereta. Keluasan dalamannya adalah setara dengan kereta sedan dengan saiz luaran kereta supermini. Emas dijanakan oleh kuasa bateri dan enjin ‘range extender’ hasil kejuruteraan Lotus. Keluarga Emas terdiri dari 3 varian iaitu Emas, Emas Country dan Emas3.
Emas seperti yang kita maklum adalah suatu yang mempunyai nilai tinggi dan setinggi itulah nilai projek ini terhadap Proton dan desain automotif tempatan. Memetik kata Giugiaro, Proton Emas adalah kereta yang mana kecantikan sama penting dengan fungsi, ergonomik, keselesaan dan tidak ketinggalan, impak terhadap alam sekitar. Platformnya, yang didesain khas oleh Italdesign untuk keluarga Emas mempunyai lantai 2 lajuran yang boleh memuatkan sistem hybrid ataupun bateri di tengah lantai. Pergerakan kerusi yang boleh dilaras secara elektronik membolehkan penumpang menikmati ruang dalaman dengan efektif. Gabungan dari kedua fasiliti ini membolehkan pergerakan masuk dan keluar kereta lebih mudah terutama sekali pada bahagian belakang.
Sistem enjin hybridnya direka oleh Lotus Engineering. Ianya merangkumi enjin 3 silinder 1.2 liter berkuasa 51 kuasa kuda [38kW] pada 3500 rpm dan boleh diisi dengan petrol, ethanol dan methanol. Sistem baterinya pula mempunyai kuasa berterusan 45kW dan kuasa puncak 75kW, tujahan maksimum setinggi 280 Nm pula bermakna enjin ini tidak memerlukan kotak gear konvensional! Kelajuan dari pegun ke 100 km/j memakan masa 14 saat manakala kelajuan maksimum adalah 170 km/j! Baterinya pula boleh bertahan sehingga 50 km dan untuk mengecas kembali kuasanya memakan masa selama 3 jam menggunakan plag elektrik rumah sahaja!
Pada bahagian dalaman, papan pemuka didominasi oleh dua panel TFT. Monitor sebelah kanan menempatkan meter kelajuan dan indikator sistem enjin. Meter sebelah kiri pula memaparkan maklumat sistem hi-fi, telefon dan internet serta informasi lain yang ditetapkan oleh pengguna. Terdapat lagi satu panel paparan iaitu di sentral konsol dengan kemudahan skrin sentuh untuk mengawal kesemua fungsi dalam kenderaan.
Pada bahagian luaran pula menampilkan bahasa desain baru Proton dan khabarnya model-model masa depan Proton akan digayakan mengikut konsep ini. Walaupun Emas direkabentuk oleh Italdesign tapi pengaruh Proton masih lagi kuat seperti arca roda yang menonjol, fascia depan dan garisan-garisan keras ala Proton Savvy.
Akhir sekali, falsafah, teknologi dan desain yang terdapat pada Emas ini suatu yang sangat jauh dengan apa yang Proton ada sekarang. Walaupun kereta ini hanyalah konsep tapi ianya bukti ke mana Proton hendak pergi dan apa yang ingin dicapainya. Dan momen ini berjaya dicapai selepas 25 tahun penubuhannya, suatu perjalanan yang sukar, kontroversi dan jauh.
Tahniah Proton.
Sumber asal: Italdesign.it & Proton Concepts.com
Suka entri ini? (=^_^=)
0 comments:
Post a Comment