Click ... Terima kasih.

Click Me! Click Me! Thanks
Looking for gifts for birthday, wedding, anniversary etc?
Ingatkan daku...
Ingatkan kesilapan dan kesalahanku kerana Sayangmu,
Bukan kerana benci dan cemburu...
{wansiti}

Search

POST-TO-DO

DEALER TOPUP MALAYSIA
SEWA RUMAH DI KOTA BHARU, KELANTAN PENGANGKUTAN DISEDIAKAN
Tambah PENDAPATAN Paling Mudah Dengan SIMPAN EMAS!!!

BICARALAH ATAS NAMA KASIH by Noraslina Jusin on Saturday, August 21, 2010 at 11:38pm

Semuanya bermula pada pertengahan Mac yang lalu, iaitu ketika saya menerima satu emel daripada seorang editor sebuah syarikat penerbitan di Malaysia. Berulangkali saya mengamati isi kandungan yang termuat di dalamnya. Bukan tidak percaya, cuma tidak menduga, bahawa impian dan hasrat yang saya pendam selama ini, bakal menjadi kenyataan dengan izin-NYA.

Setelah beberapa perbincangan lewat emel dilakukan, akhirnya saya dan pihak penerbit, Karya Bestari Sdn. Bhd. bersetuju untuk menjalin kerjasama.

Seiring itu juga,
saya menerima lamaran tersebut dengan linangan mutiara jernih dari kolam air mata. Ia manifestasi dari rasa gembira yang melaut di dalam jiwa, beriring segunung kesyukuran ke hadrat Yang Maha Esa.

Segala puji bagi-MU Ya ALLAH !

BERAKHIR
“As cemburulah dengan abang,” luah saya sambil menatap lakaran kulit buku terbaru suami. Bagai terngiang-ngiang luahan rasa cemburu saya itu setahun yang lalu. Ketika itu suami baru sahaja menerima emel berisi cover depan buku terbarunya, Untukmu Wanita.

“Bila la masanya akan tiba, As pula dapat menghasilkan buku seperti ni,” tambah saya lagi mengingatkan diri.

“InsyaAllah, As sedang berusaha ke arah itukan ?” suami memujuk.

“ Ye, suatu masa nanti, InsyaAllah,” saya menyemat azam.

Alhamdulillah, hari ini, keazaman itu bakal sampai ke penghujungnya. Pada tanggal 10 Ramadan yang lalu, saya pula menerima emel, persis seumpama emel yang pernah diterima suami dahulu. Bahkan, ia tiba dengan tambahan berita gembira bahawa buku pertama saya itu akan keluar menemui pembaca berkebetulan saat umat Islam sedang sibuk untuk membuat persiapan hari raya.

Ala-ala ‘buah tangan’ untuk lebaran.

Awal September depan, InsyaALLAH, jika diizinkan TUHAN, buku pertama saya ini akan berada di pasaran.

TENTANG BUKU
 Sebahagian besar kandungannya adalah merupakan artikel-artikel dari blog saya sendiri iaitu, ummuhusna99, dengan tambahan bonus berupa dua artikel dari suami yang dikasihi. Diharapkan, dengan menghimpun dan mempersembahkannya dalam bentuk sebuah buku akan lebih memudahkan rujukan dan bacaan secara santai tanpa perlu membuka komputer.

Saya menginsafi, usia yang ada ini, hanya DIA yang Maha Mengetahui bilakah akan bertemu titik penamatnya di dunia ini. Berakhir hayat saya di dunia, bermakna blog ummuhusna99 yang menjadi medan saya berdakwah berwahanakan pena juga akan sampai ke penghujungnya.

Lalu, membukukan artikel-artikel yang ada adalah langkah yang amat baik agar kebaikan yang ada padanya tetap boleh ditatap oleh generasi pewaris saya di masa depan, InsyaALLAH.

Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama dengan setiap satunya mengandungi beberapa sub-topik yang bersesuaian dengan tajuk-tajuk artikel di bawahnya. Walaupun, tema utama yang mengisi setiap artikel merupakan cerita dan ragam saya meneladani suami dan anak-anak, akan tetapi selamilah rentetan kisah kehidupan kami ini dengan tujuan mencari kebaikan yang boleh dimanfaatkan bersama. Sebagaimana saya cuba berusaha untuk memaknakan institusi keluarga sebagai ‘syurga’ yang menghadirkan bahagia di dunia, diharapkan para pembaca juga dapat mengambil apa jua manfaat yang tergambar dari penulisan ini untuk diaplikasikan pula di dalam keluarga masing-masing.

Hakikatnya, yang baik itu dari ALLAH Yang Maha Kaya sementara kelemahan itu datang dari diri saya sebagai manusia biasa.

Demikian juga, oleh kerana suami menghadiahkan dua tulisannya untuk dimuatkan ke dalam buku ini, saya meminta jasa baik pihak penerbit untuk turut meletakkan nama suami sebagai penulis bersama. Selebihnya, ia adalah sebagai penghargaan kepada beliau atas dorongan, masa yang dicurahkan untuk menyemak fakta dan isi penulisan ketika fasa awal bertatih sebagai penulis di alam maya, dan yang paling utama adalah bual bicara dan sembang-sembang bersamanya di dalam rumahtangga yang banyak mencetuskan ilham dan idea menulis kepada saya sepanjang setahun bergelar blogger.

BICARALAH ATAS NAMA KASIH
Sukar saya menggambarkan perasaan sendiri tika ini. Sungguhpun, detik inilah yang amat saya nanti-nantikan, namun, sejurus berita gembira itu tiba, perasaan saya berbaur antara hiba dan gembira. Hiba mengenangkan, dua insan yang paling penting di dalam hidup saya tiada di samping untuk berkongsi kesyukuran ini.

Terbayang wajah tua ayah yang jauh di tanahair tercinta. Terimbau, wajah lembut ibu yang telah kembali menemui Maha Pencipta. Justeru itu, buku ini saya dedikasikan kepada mereka atas nama cinta seorang anak yang membesar bernaung kasih sayang ibu dan bapanya.

Daripada kedua-dua mereka, saya mengenal pahit maung kehidupan. Meniti susah dan payah sebelum sampai ke destinasi impian.

Saya berdoa agar ada titisan pahala darinya yang dapat membantu mereka. Semoga, dengan rahmat dan kasih sayang ILAHI, kebahagiaan hakiki akan menjadi milik mereka nanti, ameen.

Tidak dilupa, buat suami yang dikasihi dan empat permata hati yang mengisi masa-masa indah saya sebagai seorang isteri dan Ummi. Mereka pembangkit semangat, azimat penggerak untuk saya terus berusaha mendidik diri dan mentarbiyah hati,sehingga saya menjadi 'seseorang' di dalam hayat yang sementara ini.

 Akhirnya, kepada team penerbitan, buat sahabat-sahabat yang tidak jemu memberi nasihat dan sokongan, para pelawat dan pembaca blog ummuhusna99, yang tidak jemu melontar komen membina, kalian juga ada saham dalam kebaikan penulisan ini.

Sebelum kembali kepada Pencipta, mengharapkan redha-NYA, moga kebahagiaan di dunia, bertali penghujungnya di akhirat sana.

Terima kasih semua. Terimalah dari saya :

‘BICARALAH ATAS NAMA KASIH’

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
KULIT BUKU Bicaralah atas nama kasih


Suka entri ini? (=^_^=)

comment 0 comments:

--------------------------- (=^_^=) ------------------------------

Related Posts with Thumbnails

Followers

© 2010 Genius Resources is proudly powered by Blogger